Bismillahirrahmanirrahim بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَ
Alhamdulillah. Tanda seseorang hamba itu memberikan puji-pujian kepada
Tuhan. Ia petanda yang baik. Kerana manusia ataupun insan, seringkali
dikaitkan dengan sifat lupa. Namun, dengan senang hati, faktor umur
menjadi alasan dan jawapan.
Berhenti. Marilah kita mengingati kembali. Beringat bahawa, hidup ini mempunyai pemilik yang MAHA MEMILIKI juga MAHA MEMBERI.
Senja kini, di zaman teknologi yang sungguh canggih sekali.. kita kerap
mengaplikasikan sifat menerima juga meminta. Pinta belas kasihan, pinta
kemudahan, dan pinta sifat kemanusiaan. Hampir semuanya kita meminta
tanpa segan silu. Andai permintaan itu ditujukan khas pada Tuhan, ia
bukanlah perkara yang salah. Hakikatnya, permintaan itulah adalah
permintaan yang disukai dan dirai. Jika kita membuat permintaan sesama
manusia, itu juga bukanlah perkara yang salah dan dilarang. Permintaan
tersebut masih lagi baik. Cuma, berpada-padalah. Jangan keterlaluan,
kerana setiap daripada kita ada batas-batasan yang tertentu. Sepertimana
seseorang itu memberikan salam pada seseorang, cukuplah dengan hanya
tiga kali sahaja. Lebih daripada itu, usah kita memaksa. Tetapi,
belajarlah untuk berlapang dada.
Baik. Memadailah dengan meminta. Jika kita menunggu dan meminta, akhirnya nanti kita juga yang rugi. Kita yang makan hati!
Ayuh kita bangkitkan sifat memberi. Kita mendidik diri dengan sifat yang
suci dan murni, iaitu sifat memberi. Tuhan itu MAHA MEMBERI. Tetapi
Tuhan tidaklah menyuruh kita supaya menerima setiap masa dan sepanjang
masa. Sebenarnya, Tuhan ingin sangat mendidik kita dengan sifat memberi
walaupun DIA itu MAHA MEMBERI. Andai kita teliti sifat Tuhan yang hebat
ini, kita mungkin tidak mampu mengungkapkannya. Kerana Tuhan MAHA
MEMBERI. Besarkan maksud MAHA MEMBERI itu?
"Telefon bimbit ini tidak canggih. Aplikasinya tidak banyak. Rupanya
juga tidak begitu menarik." kata kita. Mungkin 'statement' seperti ini
pernah kita dengari. Kita sering mempersoalkan tentang sesuatu perkara
dengan pelbagai soalan yang berbentuk meminta dan berharap. Sayangnya,
kita jarang mempersoalkan diri kita dan kita jarang meminta dan berharap
pada diri kita.
Tenang. Cuba tanyakan pada diri sendiri, 'apakah yang mampu aku berikan?'
Memberi, tidak semestinya dengan zahir. Memberi, tidak semestinya dengan banyak. Memberi, tidak semestinya dengan ada.
Ingat, ALLAH ITU MAHA MEMBERI.
Jadilah seperti pokok. Dimana, bersedia memberi setiap masa. Memberikan
buah yang enak dan bagi sesiapa yang menginginkannya. Memberikan
ketenangan dan kerehatan pada sesiapa yang mencarinya. Jika dihina,
dipatahkan, dirosakkan, atau dilakukan dengan apa cara sekalipun yang
kurang elok, maka balaslah dengan sifat memberi yang murni. Orang buat
jahat pada kita, kita buat baik pada orang.
Susah?
Benar. Ia bukanlah perkara yang enteng. Tetapi, ia bukanlah alasan untuk
kita lari daripada sifat memberi ini. Perlihatkanlah pada usaha. Kerana
usaha itu Tuhan lebih suka. Niatkan dalam diri, bahawa sifat memberi
itu sifat yang baik dan disukai. Sifat memberi itu, lebih hebat juga
lebih bahagia.
Andai manusia itu meminta setiap masa, pasti cinta itu tidak akan hadir tiba.
Berbahagialah dengan memberi!
"Ya Allah, apapun yang Engkau kurniakan kepadaku di dunia ini,
berikanlah kepada musuh-musuh-Mu, dan apapun yang Engkau kurniakan
kepadaku di akhirat nanti, berikanlah kepada sahabat-sahabat-Mu, kerana
Engkau sendiri cukuplah bagiku."
"Ya Allah, jika aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah
aku di dalam neraka, dan jika aku menyemba-Mu kerana mengharapkan
syurga, maka haramkanlah aku dari memasuki syurga, tetapi jika aku
menyembah-Mu demi Engkau semata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan
wajah-Mu yang abadi kepadaku."
"Ya Allah, semua jerih payahku dan semua hasratku di antara segala
kesenangan dunia ini adalah untuk mengingati Engkau. Dan di akhirat
nanti, di antara segala kesenangan akhirat, adalah untuk berjumpa
denganMu. Begitulah halnya dengan diriku, seperti yang telah kukatakan.
Kini, perbuatlah seperti apa yang Engkau kehendaki." [Doa Rabiatul
Adawiyah]
No comments:
Post a Comment