Pernah suatu
hari, telah dikhabarkan kisah dua orang sahabat yang sangat indah. Semenjak
keduanya bersahabat, mereka tidak pernah bergaduh, masing-masing amat menjaga
hati masing-masing. Indahnya lukisan kehidupan mereka, jika hendak dikhabarkan
seribu satu kisah cinta, langsung tak tertanding dengan kisah persahabatan mereka.
Allah menaungi ukhwah kedua-dua sahabat ini, langsung tak terusik oleh syaitan
dan iblis. Mereka berkongsi kisah suka dan duka, tawa dan tangis bersama, susah
dan senang, sakit dan sihat bersama, dan segala sesuatu mereka sandarkan kepada
Allah SWT. Hinggalah pada suatu hari, di tepian pantai, sedang keduanya asyik
bercerita kisah hidup masing-masing, maka sahabat pertama bertanya kepada
sahabat kedua;
“Semoga
Allah memberkatimu wahai sahabatku sehati sejiwa. Persaudaraan kita bukan suatu
kebanggaan, bukanlah suatu keseronokan. Orang ramai mendoakan kita.
Tumbuh-tumbuhan dan segala jenis makhluk tunduk sujud kepada kita. Sehingga ke
hari ini, apakah kamu masih mengaku aku sebagai sahabat seperjuanganmu?”
Sahabat
kedua menjawab, “Semoga Allah memberkati mu jua. Tanpa Allah siapalah aku, aku
bersyukur dengan nikmat pemberian Allah yang tak ternilai di hadapan mataku
ini. Dia utuskan kamu untuk menyinari hidupku, memadam kesan-kesan hitam dalam
hidupku, menyiram aku dengan curahan air cinta kepada Yang Satu. Masakan tidak
aku mengaku kau sebagai sahabat seperjuanganku. Inilah tekadku, aku amat
bersyukur ke hadrat Allah kerana dikurniakan sahabat sepertimu..”
“Sesungguhnya
iblis dan syaitan amat benci pada kita. Mereka benci kerana kita berkasih
sayang kerana Allah. Sampai sekarang, mereka masih gagal. Namun mereka tak
pernah berputus asa. Jarum kedengkian, hasad, fitnah, tuduh-menuduh, riya’ dan
takbur serta ‘ujub akan mereka cucuk supaya dapat memisahkan persaudaraan kita.
Apakah kau tidak takut wahai sahabatku?” Tanya sahabat pertama.
Dengan
tenang, sahabat kedua menjawab, “InsyaAllah, aku yakin dengan peliharaan Allah
SWT kepada kita hingga ke hari akhirat nanti. Semoga ditetapkan hati kita tidak
lain hanya kerana Allah SWT, serta dijauhi dari sifat-sifat tersebut.
Na’uzubillah…”
Maka
kedua-dua sahabat itu pun berdoa bersama-sama. Memanjatkan kesyukuran ke hadrat
Allah SWT. Segala penduduk langit dan bumi mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
Ditakdirkan
pada suatu hari, sedang kedua-dua sahabat itu bersiar-siar di sebuah taman,
sambil bertasbih memuji Allah SWT, mengagungkan kebesaran Allah SWT, tiba-tiba
mereka terlihat sebuah pohon kurma yang lebat buahnya. Telah diketahui bahawa
taman itu adalah taman yang tidak bertuan milik, dan pengunjung bebas memetik
buah-buahan di situ. Maka sahabat kedua memohon izin kepada sahabat pertama
untuk pergi memetik buah kurma tersebut. Maka dipetiknya beberapa biji sahaja,
sekadar mengisi perut yang lapar.
Maka
keduanya menikmati buah kurma tersebut dengan penuh kesyukuran. Tiba-tiba
sahabat pertama bersuara, “Maafkan aku sahabatku. Baru sahaja aku teringat
bahawasanya pohon ini bertuan milik. Kita telah makan buah kurma milik orang
lain. Adalah suatu dosa bagi kita memakan sesuatu yang bukan halal bagi kita
tanpa kita meminta izin terlebih dahulu. Salah aku kerana terlambat
memberitahumu.”
“Benarkah?
Jikalau begitu, kita telah dikira mencuri. Astaghfirullahal azim, aku merasa
bersalah kerana memetik buah itu. Apa harus kita buat? Patutkah kita
memberitahu tuan punya milik pohon tersebut akan kesalahan kita?” Sahabat kedua
bertanya.
“Tidak, aku
tak mampu memikirkan jalan penyelesaian buat masa sekarang. Hakikatnya memang
salah aku. Aku merasa berdosa yang teramat sangat.” Keluh sahabat pertama.
“Jangan
risau sahabatku fillah. Allah bersama orang-orang yang benar. Kita harus
berlaku jujur. Mari kita berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Mudah-mudahan
Allah mengampuni dosa kita. Moga tuan milik pohon ini menghalalkan kita kerana
memakan buahnya. Aku rela bekerja seumur hidup jika disuruhnya begitu, demi
menghalalkan apa yang telahku makan ini. Aku lebih takutkan seksaan Allah SWT.”
Sahabat kedua memujuk sahabat pertama.
Namun,
sahabat pertama enggan menurut sahabat kedua. Dia berasa amat bersalah kerana
gagal memberitahu perkara sebenar tentang pohon tersebut.
“Bagaimana
jika tuan pemilik pohon ini enggan menghalalkan buah yang telah kita makan
ini?” Tanya sahabat pertama.
Sahabat
kedua termenung seketika. Dia mulai ragu-ragu.
“Aku
mencadangkan kita tak perlu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Aku khuatir
dia enggan memaafkan kita. Maka seluruh darah dan daging kita tidak halal di
sisi Allah.” Sahabat pertama memberi cadangan.
“Kalau
begitu, sama sahajalah pengakhirannya. Lebih dahsyat lagi Allah murka atas
perbuatan kita. Dia melihat perbuatan kita, Dia tahu yang kita telah melakukan
maksiat dan cuba menyembunyikannya. Aku amat takut. Seeloknya aku mencadangkan
kita berjumpa tuan pemilik pohon ini. InsyaAllah dengan rahmat Allah, tuan
pemilik pohon ini memaafkan dan menghalalkan apa yang telah kita makan. Aku tak
mahu tergolong dalam kalangan orang yang dilaknat oleh Allah SWT di akhirat
kelak nanti.” Sahabat kedua meyakinkan sahabat pertama.
“Kalau
begitu, engkau pergi seoranglah. Aku tidak mahu. Sebagai sahabatku, harap kau
jangan laporkan kepadanya yang aku turut sama makan buah kurma itu ya.
InsyaAllah suatu hari nanti aku akan cuba bertaubat kepada Allah SWT atas
kesalahanku ini. Mudah-mudahan Dia mengampuni aku. Aku belum cukup kuat
berjumpa dengannya,” kata sahabat pertama.
Sahabat
kedua amat terkejut dengan pendirian sahabat pertama. Lalu dia berkata,
“Astaghfirullah, bukan dengan cara begini, Allah akan ampunkan dosa kita wahai
sahabatku. Kelak akan dipersaksikan di akhirat kelak akan perbuatan terkutuk
kita!”
“Ya aku
faham. Tapi aku merasakan inilah jalan penyelesaian terbaik. Kita bertaubat
sahaja. Allah akan mengampuni dosa kita. Pintu taubatnya sentiasa terbuka bagi
hambaNya yang bertaubat kepadaNya.” Sahabat pertama masih enggan.
“Wahai
sahabatku, janganlah kita dihina di hadapan Allah kelak atas perbuatan kita
ini. Aku sebagai sahabatmu tidak sanggup melihat sahabatku ini menjadi penghuni
neraka hanya kerana hal yang kecil sebegini. Islam mengajar kita supaya berlaku
jujur!” tegas sahabat kedua.
“Ah,
pedulikan! Aku tidak mahu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Lagipun sama
sahaja kalau dia enggan menghalalkan apa yang telah kita lakukan ini. Kau mahu
pergi, kau pergilah, aku tetap dengan pendirianku! Biarkan aku! Kalau kau
rasakan aku tidak layak menjadi sahabatmu kerana ‘dosa’ku pada pandanganmu,
maka biarkan aku!” Pengakuan sahabat pertama ini membuatkan sahabat kedua
terkejut. Dia tidak menyangka bahawa kata-kata tersebut akan keluar dari mulut
sahabatnya itu.
Tiba-tiba
sahabat kedua menangis. Maka dengan perlahan dia berkata kepada sahabat
pertama, “Sungguh aku tak sangka dengan pendirianmu ini. Kau telah berubah,
astaghfirullah, syaitan benar-benar telah mempengaruhimu. Aku masih ingat kau
pernah bertanya kepadaku suatu ketika dahulu, apakah aku tidak takut akan
jarum-jarum syaitan yang akan memisahkan persaudaraan kita? Aku meyakinkanmu
dengan jawapanku. Aku yakin dengan peliharaan Allah. Tapi, memang benar apa
yang dikatakanmu. Kau telah berubah. Jarum syaitan telah menusuki tubuhmu. Aku
sangat kecewa dengan perubahan dalam dirimu.”
“Kau sudah
tidak memahamiku lagi. Kau benar-benar bukan sahabatku. Maka terpulanglah,
pergilah kau kepada tuan si pemilik pohon. Aku dengan pendirianku ini. Mulai
hari ini, kita bukanlah sahabat sejati,” kata sahabat pertama.
“Baiklah,
pergilah engkau dengan sikap engkau itu. Aku benar-benar kecewa. Jika benar kau
membenciku, maka tinggalkanlah aku di sini. Aku tak sanggup melihatmu dengan
pendirianmu ini. Aku tak rela sahabatku berubah jadi begini. Kau telah
mendustai kata-katamu suatu ketika dahulu. Mulai hari ini, aku terima
permintaanmu, kita bukan lagi sahabat. Pergilah engkau bertaubat, semoga Allah
mengampuni engkau,” maka sahabat kedua menangis. Lalu sahabat pertama beredar
dari situ. Kebencian merajai segenap hatinya….
Di dalam
sebuah gua, terdengar tangisan teresak-esak seorang lelaki. Suara laksana orang
sedang berdoa.
“Ya Allah,
memang benar apa yang aku alami. Sahabatku benar-benar membenciku kerana
kejahatanku. Dia benar-benar sudah tidak mengakuiku sebagai sahabatnya. Apabila
aku berlagak seperti seorang pengkhianat, dan aku berlakon seperti seolah-olah
aku menafikannya sebagai sahabatku, maka memang benar dia menolakku. Sudah ku
duga bahawa dia mengakui aku sebagai sahabatnya hanya kerana kebaikan yang ada
padaku. Apabila aku jahat, maka aku bukan lagi sahabatnya. Dia tidak berusaha
mendapatkanku. Ku harapkan dia mengejarku, namun dia menghukum aku sebagai
pendusta pula. Ya Allah, namun begitu, aku menghalalkan apa yang telah
dimakannya, akulah pemilik pohon kurma itu, ampunilah dosa sahabatku ini.”
Sahabat
pertama tunduk sujud dan menangis dalam gua yang gelap gelita itu.
No comments:
Post a Comment